Tuah berbudi kepada tanah
Tumiran menunjukkan buah markisa di ladang tanamannya yang terletak di Felda Ulu Penggeli.
KLUANG - Bermula dengan niat untuk mencuba secara kecil-kecilan pada tahun 2010, tidak menyangka tanaman buah markisa yang diusahakan oleh Tumiran Abu, 56, membuahkan hasil yang agak lumayan.

Menurut Tumiran, pada mulanya beliau hanya menanam buah markisa di tanah kosong belakang rumahnya kerana dengan harapan sekadar ingin mencuba sahaja.

“Saya tidak sangka tanaman yang dijalankan secara kecil-kecilan itu bertambah luas sehingga saya menanamnya di kawasan ladang kelapa sawit seluas 0.8 hektar,” katanya kepada Sinar Harian.

Tumiran berkata, pada mulanya beliau hanya melihat peneroka di Felda Ulu Penggeli ini menanam di kawasan halaman rumah sebagai cara mengindahkan kawasan.
“Bermula dari situlah saya berjinak-jinak menanam buah markisa kerana melihat ia mempunyai potensi yang tersendiri dan boleh dipasarkan jika ditanam secara komersial.

“Malah, menerusi tanaman buah tersebut saya boleh mendapat pendapatan yang agar lumayan dan boleh mencecah RM3,000 sebulan,”  katanya.

Katanya lagi, sehingga kini lebih 300 pokok markisa di ladangnya boleh mengeluarkan hasil sebulan dua kali dan segala hasil tanamannya itu akan terus dijual kepada pemborong yang akan datang pada setiap bulan.

Beliau berkata, pada masa ini hasil kutipan buah markisa akan dijual kepada pemborong yang datang dari Yong Peng sebelum di eksport ke luar negara seperti Singapura dan penanaman buah ini juga semakin giat diusahakan oleh warga peneroka di Felda Ulu Penggeli.

Dalam pada itu, Tumiran bercadang untuk menambahkan lagi penanaman buah markisa kerana pada masa ini permintaan terhadap buah berkenaan agak tinggi.
Beliau berkata, pada masa kini harga buah tersebut terbahagi kepada gred-gred tertentu dan dijual antara RM2.50 hingga RM4 untuk satu kilogram jadi tidak mustahil pada masa akan datang harga buah tersebut akan meningkat lebih tinggi.

“Ini kerana buah markisa mempunyai kandungan khasiat yang tinggi dan ianya merupakan buah yang semakin diminati ramai khususnya di negara ini dan rasanya sangat sedap apabila dijadikan jus.

“Saya juga berharap tanaman yang diusahakan ini semakin berkembang dan dipasarkan ke seluruh kawasan di negeri ini.

“Di samping itu, saya juga mahu mengajak anak-anak muda Felda untuk bersama-sama mengusahakan tanaman buah markisa kerana ianya boleh memberikan pulangan modal yang agak lumayan,” katanya lagi.
sumber sinar