“Tuhan tunjuk jalan untuk kami”
PASIR MAS – Luhur hati seorang isteri dari Kampung Banggol Setol di sini yang sanggup berkorban meminang madu setelah perkahwinan kira-kira 26 tahun lalu tidak dikurniakan cahaya mata.

Bagi Zunaidah Junoh,46, kehidupannya suami isteri sebelum ini bahagia walaupun tanpa dikurniakan zuriat, bagaimana pun dia yakin akan mengecapi lebih kebahagiaan dengan kehadiran cahaya mata.

Zunaidah berkata, bagi mencapai hasrat itu, dia berhasrat mencari madu dan dipersetujui suaminya Mohamad Nor Razali, 52, yang merupakan seorang pesara posmen.

Menurutnya, setelah mendapat persetujuan suami, dia yang sudah mempunyai calon terus meminang dan menerima Shahrul Azura Mohamad, 26, sebagai madu tanggal 30 Mei tahun lalu.

“Usaha saya sememangnya menjadi buah mulut masyarakat setempat, tetapi saya yakin apa yang saya buat tidak salah, jadi saya tidak mempedulikan setiap apa yang dikatakan dan bersyukur serta gembira, kini hasrat suami telah tercapai.

“Kehadiran Muhammad Aqil, yang baru berusia 43 hari memberikan kebahagiaan untuk kami sekeluarga dan saya menanggapnya seperti anak sendiri dan berharap dia akan menjadi anak yang berguna dan berpendidikan,” kata suri rumah tangga sepenuh masa ini yang turut menjaga Shahrul Azura ketika berpantang.

Zunaidah berkata, biar pun berkongsi kasih sejak hampir setahun lalu dengan Shahrul Azura, tetapi dia dapat merasakan kasih sayang dicurahkan suami tidak berubah.

Menurutnya, dia menganggap madunya seperti adiknya sendiri dan mereka tidak pernah mempunyai sebarang masalah sepanjang tempoh perkahwinan yang hampir memasuki setahun ini.

“Tuhan tunjukkan jalan yang terbaik untuk kami bermadu, kami saling bantu membantu, sekiranya ada apa-apa yang perlu bincangkan, kami akan membuat keputusan bersama-sama. Suami tidak akan membuat keputusan sendiri,” katanya yang kagum dengan suami yang mampu membuat keputusan terbaik buat mereka.

Sementara itu, Shahrul Azura berkata, dia terus menerima lamaran Zunaidah kerana yakin dia akan bahagia memandangkan yang datang meminangnya adalah madunya sendiri.

Menurutnya, kedua ibu bapanya tidak menghalang perkahwinan mereka malah merestuinya.

“Saya gembira dan menganggap Kak Dah (Zunaidah) seperti kakak saya, semua keperluan menyambut kelahiran Muhammad Aqil disediakan. Semasa saya bersalin Kak Dah turut menunggu saya sehingga kini dia turut menjaga Muhammad Aqil,” katanya.

Shahrul Azura berkata, dia akur dengan ketentuan Illahi yang menentukan dia hidup bermadu serta bahagia.

Bagi Mohamad Nor pula, dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk dengan kejayaannya hidup bahagia walaupun mempunyai dua isteri tetapi berharap agama dijadikan asas dalam kehidupan.

Menurutnya, dia bersyukur dengan nikmat diberikan tuhan kepada mereka sekeluarga dan mengadakan kenduri doa selamat dengan menyembelih dua lembu di samping 1,500 jemputan terdiri daripada penduduk, saudara mara serta rakan-rakannya.
-sinarharian