Pages

3/30/12

hot-nilai hartanah kuantan meningkat


Nilai hartanah di daerah ini terus mencatatkan peningkatan di sebalik spekulasi pihak tertentu mengenai isu pembinaan kilang memproses nadir bumi oleh Syarikat Lynas (M) Sdn. Bhd. (Lynas).
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ia berdasarkan kepada laporan terbaru oleh Jabatan Penilaian Harta negeri.

“Nilai hartanah di kawasan Gebeng, Balok dan Beserah tak jatuh dan tidak ada pula yang mahu jual hartanah mereka disebabkan oleh isu Lynas.

“Tapi, kalau ada yang hendak jual, bagi tahu kita (kerajaan negeri), insya-Allah kita melalui Rangkaian Delima Sdn. Bhd. (RDSB) boleh beli. Kalau RDSB tak mampu, kita beli melalui Yayasan Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan RD Prima Suites milik syarikat RDSB di atas hartanah lot 235 dan lot 147 di Jalan Gambut di sini hari ini.

Adnan berkata, bagi harta kediaman seperti teres kos rendah setingkat di kilometer (KM) 12, Jalan Gambang, harga seunit meningkat daripada RM49,000 hingga RM68,000 antara Julai dan Disember 2010 kepada RM80,000 hingga RM130,000 (antara Januari dan Jun 2011).

“Bagi teres dua tingkat di bandar Indera Mahkota, harga seunit meningkat daripada RM200,000 hingga RM270,000 antara Julai dan Disember kepada RM280,000 (antara Januari dan Jun 2011).
“Bagi teres berkembar setingkat di Jalan Air Putih, harga seunit meningkat daripada RM285,000 hingga RM370,000 antara Julai dan Disember 2010 kepada RM420,000 (antara Januari dan Jun 2011),” katanya.
Bagi nilai harta tanah bangunan kediaman pula katanya, tanah tersebut di Bandar Damansara meningkat daripada RM196 hingga RM205 setiap meter persegi antara Julai dan Disember 2010 kepada RM242 (antara Januari hingga Jun 2011).

“Bagi kedai tiga tingkat di Jalan Beserah, meningkat daripada RM700,000 seunit antara Julai dengan Disember 2010 kepada RM800,000 seunit (antara Januari dan Jun 2011),” katanya.
Menurutnya, angka-angka benar dan terkini yang dilaporkan Jabatan Penilaian Harta negeri itu membuktikan bahawa nilai hartanah di daerah ini adalah kekal stabil dan meningkat.

“Maka tidak benar sama sekali dakwaan mengatakan nilainya merudum ekoran isu-isu tertentu yang dimomokkan hingga dikatakan menghantui penduduk di daerah ini,” katanya.
UTUSAN

No comments:

Post a Comment

.