Pages

3/23/12

usahawan nangka lumayan

MINAT yang mendalam terhadap pertanian menjadi dorongan kepadanya untuk terus membabitkan diri dalam sektor itu walaupun sudah beberapa kali gagal sekali gus menanggung kerugian yang agak besar.
Kegagalan demi kegagalan itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malah ia dianggap sebagai pemangkin untuknya supaya berusaha lebih keras.


Bukan mudah bagi Siti Solimah Abdul Fatah, 54, untuk menjaga dan memastikan projek tanaman nangka jenis J33 yang diusahakan di atas tanah seluas 40 hektar itu berjaya. Tetapi, berkat usaha yang tidak kenal putus asa, ibu kepada lima anak itu kini mampu berbangga apabila muncul pengeluar utama buah berkenaan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh, Pahang.

Dibantu suami, Yusof Buyamin, 55, Siti Solimah yang juga peneroka Felda Jengka 22, Maran itu mengakui selepas gagal memberi pulangan memuaskan terhadap projek pisang yang diusahakannya sebelum ini, dia mula beralih dengan tanaman nangka J33 pada 2007 selepas tertarik melihat ladang yang diusahakan Felda Plantation Resort, Jerantut.
Bermula daripada situ, dia mengorak langkah dengan mengusahakan tanaman nangka secara berperingkat berbekalkan modal kira-kira RM400,000 menerusi pinjaman bank dan wang simpanannya.

Selain permintaan, tempoh matang singkat, tahan ancaman penyakit dan penjagaan yang mudah turut menjadi faktor dia berminat untuk menanam nangka J33 berbanding beberapa jenis lain seperti Mastura, Subang, Mantin dan CJ3.

“Saya kini mempunyai kira-kira 4,500 pokok nangka yang ditanam secara berperingkat, fasa pertama berumur empat tahun dan kini sudah mengeluarkan hasil manakala fasa kedua berumur setahun lebih.

“Tempoh matang pokok nangka J33 singkat iaitu antara dua setengah tahun hingga tiga tahun dan setiap pokok mampu menghasilkan buah antara lima hingga 10 biji.
Sebiji buah nangka mampu mencecah berat antara 15 hingga 20 kilogram.

“Isinya yang enak, tidak berair, manis, lemak, rangup dan berbau harum membuatkan nangka J33 mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk negara luar,” katanya yang bercadang memperluaskan lagi tanaman berkenaan.

Selain membaja, aktiviti meracun dan memangkas perlu dilakukan setiap bulan bagi memastikan pokok berada dalam keadaan subur seterusnya bebas daripada ancaman penyakit termasuk serangga perosak.

Siti Solimah menggunakan lapan pekerja bagi melakukan tugas berkenaan selain dia sendiri dan suami turut membantu bagi meringankan tugas.

“Sebanyak 2,500 pokok fasa pertama kini mengeluarkan hasil kira-kira 12 metrik tan sebulan yang dijual pada harga antara RM1.60 hingga RM1.80 sekilogram kepada pemborong tempatan termasuk pembeli dari Temerloh dan Bentong.

“Kami menjual buah nangka setiap minggu dan jumlahnya bergantung kepada permintaan, ada ketikanya kami tidak dapat memenuhi permintaan yang sentiasa bertambah setiap bulan.

“Harapan saya apabila semua 4,500 pokok nangka fasa pertama dan kedua berbuah, kami akan meluaskan pasaran ke beberapa negeri termasuk ke Singapura,” katanya yang turut memiliki sebuah syarikat pembinaan.

Kejayaan projek itu banyak dibantu agensi peneraju Projek Pertanian Moden Lanchang iaitu Jabatan Pertanian Negeri Pahang dan Pejabat Pertanian Daerah Temerloh yang diketuai Badrul Isham Md Nor.

Yusof pula berkata, kesungguhan dan semangat gigih untuk berjaya dalam bidang pertanian menjadi faktor utama mereka beroleh pulangan lumayan selepas berpenat lelah membanting tulang memajukan tanah.

Bernaung dibawah Syarikat Dimensi Sejahtera Sdn Bhd miliknya, Yusof bersyukur segala impian untuk melihat pokok nangka J33 membesar dan mengeluarkan hasil kini menjadi kenyataan.

“Sepanjang lebih lima tahun terbabit dengan projek ini pelbagai cabaran terpaksa dilalui. Babi hutan adalah antara ancaman berterusan walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengelak binatang berkenaan merosakkan buah,”

katanya yang mengakui, adakalanya mereka sekeluarga bermalam di ladang sambil melakukan pelbagai tugas seperti memangkas. membungkus buah dan memantau pekerja.


No comments:

Post a Comment

.