Pelajar dakwa dibelasah guru
Dailami menunjukkan luka dan lebam di bahagian pipi akibat ditumbuk serta dicakar oleh guru sekolahnya
GERIK - Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah, di sini, mendakwa di belasah seorang guru sehingga mengalami beberapa kecederaan termasuk bengkak di kepala.

Akibat kejadian dipukul pada 4 Mei lalu, pelajar berkenaan, Dailami Hizami Abdul Latiff, 14, mengalami simptom muntah-muntah sehingga di tahan di Hospital Gerik selama tiga hari.

Ibu pelajar berkenaan, Anita Ahmad, 46, berkata, pada hari kejadian dia datang mengambil anaknya di sekolah tetapi anaknya tidak ditemui sebelum pulang ke rumah dan meminta seorang lagi anak menjemput Dailami.

Menurutnya, ketika dibawa pulang Dailami mengalami beberapa kecederaan akibat dipukul guru tanpa diketahui punca sebenar.

“Menerusi laporan polis, anak saya memberitahu kira-kira jam 11.55 pagi sewaktu tamat sesi pembelajaran dia turun tangga untuk pulang tetapi secara tiba-tiba tiga orang guru menahan dan memaksanya masuk semula ke kelas.

“Ketika di dalam kelas itu, datang seorang lagi guru terus memukul muka anak saya dengan cara menumbuk dan mencakar pipi serta berulang kali memukul kepala menggunakan lutut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Anita berkata, ketika dipukul, salah seorang guru berkenaan turut memegangnya.

“Akibat kejadian itu, anak saya mengalami beberapa kecederaan termasuk luka di muka dan lebam di kepala.

“Anak saya juga mengalami pening-pening sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Gerik,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima rawatan dan dibawa pulang ke rumah keadaan kesihatan Dailami menjadi teruk apabila mengalami muntah-muntah serta loya.

“Pada sebelah malam keadaannya semakin teruk dan dia dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut tetapi bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dalaman.

“Doktor ingin menahannya tetapi saya membuat permohonan membawanya ke Hospital Gerik semula.

Dailami ditahan di wad selama tiga hari dan dibenarkan pulang semalam,” katanya.

Anita berkata, kenapa guru-guru itu boleh bertindak sedemikian sedangkan mereka sewajarnya memberi pendidikan kepada anaknya.

“Sebelum ini, anak saya ada bergaduh dengan rakan sekelasnya dan pada hari Khamis iaitu sehari sebelum kejadian, bapa kepada pelajar ini meluru masuk ke kelas serta memukul anak saya.

“Saya ada membuat laporan polis tentang pergaduhan anak saya dengan pelajar berkenaan dan kemungkinan dia tidak berpuas hati,” katanya.

Katanya, dalam hal itu, orang luar dilihat boleh menceroboh sekolah sesuka hati dan memukul anaknya.

“Lebih terkilan, guru pula menyeret dan memukul anak saya dengan alasan enggan memberi kerjasama mengenai kes sebelum ini,” katanya.

Katanya, diharap Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini.

“Tidak lupa juga kepada pihak polis, supaya menjalankan siasatan secara telus dan adil serta tidak mengabaikan kes ini begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kes ini,” katanya.
-sinarharian