SKUAD bola sepak negara berjaya mengelak daripada kekalahan besar apabila hanya tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi pembukaan pusingan ketiga Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, Fukuoka, semalam.Terima kasih kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya sembilan percubaan bahaya pasukan tuan rumah di babak pertama dan empat di babak kedua.
Jika tidak kerana kecemerlangan Fahmi, Malaysia hampir pasti menjadi ‘lauk’ kepada pasukan Samurai Biru yang seperti dijangka menguasai sebahagian besar permainan.Hanya dua gol gagal dihalang Fahmi iaitu menerusi Keigo Higashi pada minit ke-11 dan Ryohei Yamazaki pada minit ke-77. Itu pun selepas Jepun mengasak bertali arus.
Ternyata skuad negara bukan lawan setanding untuk Jepun yang jelas memiliki kelebihan dalam segala segi baik kawalan bola, kawalan dan gaya permainan, ketenangan, skil, teknik serta taktik.Seawal minit kedua lagi Fahmi sudah diuji apabila berjaya menghalang bola satu-dua pemain Jepun di depan gawang sebagai tanda amaran betapa deretan percubaan bahaya bakal terus menyusul selepas itu.Ia ternyata benar apabila satu demi satu penyerang Jepun membolosi kubu negara menerusi gerakan-gerakan kemas dan menarik dari setiap penjuru.
Kegagalan pemain negara mengawal permainan dengan kemas dan memegang bola dengan yakin menjadi faktor kenapa tiada langsung percubaan bahaya berjaya diilhamkan anak-anak buah Ong Kim Swee sepanjang permainan.Hanya di babak kedua, satu-satunya percubaan yang berjaya dicipta menerusi Thamil Arasu pada minit ke-63 tetapi belum sempat dapat meledakkan sepakan dari dalam kotak penalti, ia mudah dipatahkan pertahanan Jepun.
Dalam pada itu pujian juga perlu diberikan kepada benteng pertahanan skuad negara kerana ampuh bertahan ketika berkampung di kubu sendiri.
No comments:
Post a Comment