Mangsa, Muhammad Nabil Amin Abd Wahab, 10, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim berkata, dia menjadi penjaga gol ketika bermain bola semasa diserang tiga ekor anjing dari arah belakang.
“Semua rakan yang terlihat anjing menghampiri melarikan diri terlebih dahulu dan saya yang sakit kaki tidak dapat berlari menyebabkan menjadi sasaran tiga anjing yang sedang kelaparan.
“Saya ternampak mulut anjing yang terbuka luas sehingga menyambar kaki kiri dan sempat menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang,” katanya.
Ketika itu, katanya, seekor anjing berada di atasnya manakala dua lagi berada di bahagian kepala mengawasi setiap pergerakannya.
Nasibnya baik apabila pelanggan kedai makan berdekatan yang sedang menikmati minum petang ternampak tangannya yang terkapai-kapai meminta tolong datang membantu.
Nenek mangsa, Che Som Zakaria, 58, berkata, pagi hari berkenaan, dia terdengar kejadian anjing liar mengejar penduduk di lokasi sama lalu menasihati penduduk lain supaya menutup pintu pagar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Menurutnya, pada waktu petang kejadian, dia dikejutkan dengan nasib cucu yang diserang tiga anjing ketika bermain di padang sama.
“Dia baru sahaja berehat selepas kecederaan luka di kaki kanan akibat terpijak kaca di padang sama ketika bermain dengan kawan-kawan namun tidak menyangka kejadian lebih teruk berlaku terhadap dirinya,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibu mangsa, Nor Azila Osman, 29, berkata, anaknya sudah seminggu tidak ke padang permainan itu kerana belum sembuh sepenuhnya dari jahitan luka akibat kaca.
“Dia memang dah lama tak ke padang sebab tak boleh jalan dengan baik dan hari ini (semalam) sepatutnya jahitan luka kaca dibuka tetapi semalam (kelmarin) kena tambah jahitan lagi di kaki kiri,” katanya.
Nor Azila berkata, kejadian digigit anjing kerap berlaku di kawasan perumahan berkenaan di mana sebulan lalu seorang budak perempuan sekolah rendah turut terkena gigitan anjing sewaktu pulang sekolah.
Dia dan suami, Abd Wahab Tajudin, 34, yang sedang berada di tempat kerja terus ke hospital sebaik mendapat maklumat dari keluarga.
Bapa saudara, Rosli Ismail, 40 berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya ke atas anjing liar yang sering berkeliaran secara berkumpulan di kawasan terbabit memberi ancaman terutama kepada kanak-kanak.
Dalam pada itu, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa berhubung kejadian itu.
No comments:
Post a Comment