Pages

3/30/12

hot-industri arowana


MINAT orang ramai terhadap ikan hiasan antara punca mengapa ikan arowana turut mendapat perhatian luar basa.

Di negara ini, terdapat pelbagai jenis ikan hiasan seperti discus dan angelfish, live bearer seperti gapi, swordtail dan molly, Cyprinid seperti tiger barb, cherry barb dan rosy barb dan Characid seperti pelbagai jenis tetra. Ikan yang paling terkenal di negara kita ialah arowana.
Ikan berkenaan tergolong digolongkan dalam famili Osteoglossidae iaitu keluarga ikan yang dikenal sebagai ikan lidah bertulang (bonytongue).

Ikan ini digelar sedemikian kerana struktur lidahnya berbentuk tulang yang keras dan kesat berfungsi sebagai gigi pencengkam sesuai dengan kelakuan pemakanannya sebagai ikan pemangsa.
Jabatan Perikanan merupakan agensi kerajaan yang menjadi peneraju dalam pembangunan industri ikan hiasan di negara ini.

Industri tersebut mula berkembang sejak 2005 dengan kadar pertumbuhan 15 peratus sehingga tahun 2009.
Kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran ikan hiasan negara adalah untuk pasaran eksport ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara Kesatuan Eropah seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom.

Sehingga hari ini, Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar arowana di Asia selepas negara jiran Indonesia.

Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Nik Ab. Wahab Mat Diah berkata, ikan arowana merupakan sebahagian daripada komponen pembangunan haiwan akuatik yang turut merangkumi tumbuhan akuatik.

Haiwan akuatik tersebut antaranya termasuklah ikan hiasan seperti , ikan emas, discus, ikan koi, dan ikam beta (ikan laga), sepat dan gapi.

Nik Ab. Wahab berkata, beberapa program penyelidikan dan pembangunan melibatkan ikan arowana telah dirancang dan dilaksanakan.

Antara kejayaan tersebut ialah pembiakan pada 1996 yang dilaksanakan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) di Batu Berendam Melaka dan membangunkan standard kualiti untuk arowana dengan kerjasama SIRIM Berhad.

“Penyelidikan lain termasuk penentuan strain atau jenis dan jantina arowana mengikut teknik biosensor dengan hanya menggunakan sampel sisik sahaja,” kata beliau.

Pihaknya juga melaksanakan program pemuliharaan arowana di Tasik Bukit Merah yang mana matlamatnya ialah populasi arowana di kawasan itu akan dapat dipulihkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa ini program penyelidikan dijalankan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi), Titi, Jelebu, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan bagi menggantikan PPPAT beroperasi di Batu Berendam, Melaka.

Nik Ab. Wahab berkata, FRI Glami Lemi memberi tumpuan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan terutama daripada segi pengeluaran hibrid baru, pengenalan identifikasi menerusi teknik molekular serta aktiviti krioawetan semen.

“Kita dalam proses pemilihan induk untuk aktiviti biakbaka daripada spesies liar bagi meningkatkan populasi,” katanya.

Selain aktiviti penyelidikan dan pembangunan Jabatan Perikanan juga kata beliau, mengawal selia urusan import dan mengurus pengeluaran permit eksport memandangkan pengusaha arowana perlu memperoleh permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).
Begitu juga mengenai sijil kesihatan ikan arowana yang perlu diperoleh daripada jabatan tersebut.

Dengan jumlah pengusaha mencecah 140 orang yang mana 87 daripadanya beroperasi di Kerian Perak, beliau yakin industri tersebut akan terus meningkat pada masa akan datang.
“Industri arowana perlu berkembang sebagai satu peluang perniagaan yang telah pun dimasukkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” ujarnya.

Dalam pada itu, Pusat Ikan Hiasan di Enggor, Kuala Kangsar, Perak memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri tersebut melalui latihan, kemahiran dan pengetahuan dalam aspek ternakan dan pengurusan ternakan.

Sementara itu, menurut Penyelidik Kanan Bahagian Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glemi Lemi , Mohamad Zaini Suleiman, industri penternakan arowana telah berkembang pesat di negara ini sejak 2005.
Sebagai tempat asal arowana, jenis terbaik di dunia iaitu arowana emas Malaysia merupakan sebuah 'kilang' pengeluar pelbagai jenis arowana untuk pasaran global.

Pelbagai jenis arowana kita di pasaran di peringkat global seperti jenis Blue based gold, cross backed gold, high backed gold, golden head, chili red, blood red dan sebagainya dihasilkan di negeri Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan juga Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, matlamat utama Pelan Pembangunan Arowana ialah memperluas pasaran arowana yang sedia ada sama ada di dalam negara atau untuk tujuan eksport.

“Kami berharap ikan ini dapat menembusi pasaran baru di Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat melalui pelbagai strategi yang telah dan sedang dijalankan seperti program pemuliharaan arowana di Tasik Bukit Merah dan promosi dalam pameran seperti Aquarama di Singapura, Aquafair di Kuala Lumpur,” katanya.
Selain itu, misi perdagangan dan promosi ikan hiasan ke luar negara di samping mengenalpasti peluang pasaran baru juga diadakan.

Jabatan Perikanan kini katanya mensasarkan pengeluaran sebanyak 0.5 juta ekor arowana dihasilkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pada masa sama, bilangan syarikat berdaftarkan CITES pada tahun lepas yang berjumlah 31 juga akan ditingkatkan melalui taklimat dan bimbingan berterusan bertujuan memberi peluang lebih ramai lagi pengusaha arowana melibatkan diri dalam pengeksportan arowana keluar negara.
-utusan

No comments:

Post a Comment

.