SUNGAI RAMBAI - “Saya dengar suara ramai orang, tapi bila saya jerit, mereka tak dengar suara saya,” kata Mohd Lazi Mohd Lasim, 54.
Mohd Lazi, seorang pencari siput sedut berkata demikian menceritakan peristiwa dia sesat lebih 10 jam dalam kawasan paya bakau, Ayer Tawar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, dia yang mengangkut sama tong berisi siput sedut dan lokan seberat kira-kira lima kilogram yang baru ditangkap, gagal mencari jalan keluar untuk pulang ke rumah.
Bagaimanapun, dia berjaya ditemui selepas usaha mencari lakukan penduduk kampung dengan bantuan pasukan penyelamat, kira-kira 3.30 pagi semalam.
Menurut Mohd Lazi, ketika operasi mencari itu, dia ada mendengar suara dua anaknya, Mohammad Azizi, 22, dan Mohd Azrin, 19, serta orang ramai sedang memanggil namanya, selain kelibat lampu suluh.
“Saya dengar suara Azizi dan Azrin berulang kali menyatakan ‘abah ada di sini....’ Malah, saya juga dengar suara orang ramai, tetapi apabila saja menjerit, mereka tidak dengar.
“Selepas beberapa kali saya cuba menjerit, barulah mereka dengar serta menyuluhkan lampu dan mencari ke arah saya,” katanya.
Menceritakan kembali peristiwa berkenaan, Mohd Lazi berkata, dia berjalan kaki mencari jalan keluar tetapi hanya menemui lokasi sama yang dia tandakan sendiri dengan kayu dipacak dan digantung besen biru atas kayu berkenaan.
“Selepas masih berpusing-pusing di tempat sama, ketika itu saya hanya terfikir mungkin ada makhluk ghaib mahu permainkan saya.
“Kemudian seperti orang gila cakap seorang diri. Saya berkata ‘kalau kau nakkan aku, aku boleh temankan kau. kalau aku ada salah, bersuaralah dan nyatakan apa salah aku. Jika tidak, kau tunjukkanlah aku jalan keluar’,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurut Mohd Lazi, biasanya dia hanya perlu melalui dua alur sebelum sampai semula ke muara tetapi semalam sebanyak lima alur dilaluinya menandakan dia sudah tersasar jauh.
Bagaimanapun, dalam keadaan gelap, katanya, dia terdengar suara anaknya, namun keliru apabila jeri-tannya untuk meminta bantuan tidak didengari mereka.
Sementara itu, Pegawai Penguasa Kanan Bomba Negeri, Rasidi Md Yunos yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkata, operasi bermula 10.30 malam kelmarin membabitkan 15 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan Merlimau.
Menurutnya, turut membantu, unit anjing pengesan (K-9), penyelamat sukarelawan serta penduduk setempat.
sinarharian
No comments:
Post a Comment