Khairul Fahmi Che Mat
BAGAI sudah dijangka, dua nama yang tidak asing dalam arena bola sepak negara, penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat dan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee dinobat sebagai Atlet Lelaki Berpasukan Pilihan dan Jurulatih Pilihan pada Majlis Anugerah Astro Arena 2012, di Kuala Lumpur, semalam.

Khairul Fahmi dengan nama jolokan Apex mendapat undian tertinggi dengan 76 peratus menewaskan empat pesaing lain Bryan Nickson Lomas (Terjun), Adrian Ang (Bowling), Cheng Chu Sian (Memanah) dan Mazli Ikmar Mohd Nor (Hoki).

Bukan setakat itu sahaja, bola sepak sekali lagi terbukti sukan pilihan apabila pemain termuda dalam skuad Olimpik negara Mohd Nazmi Faiz Mansor diangkat sebagai Atlet Muda Pilihan, selain aksi final Sukan Sea 2011 antara Malaysia menentang Indonesia menjadi Perlawanan Pilihan orang ramai.

Menambah manis rentetan kejayaan pelumba basikal negara, calon Olahragawati Kebangsaan 2001 Nur Fatehah Mustapha menerima Anugerah Wanita Berpasukan Pilihan dengan undian 39 peratus.
Senarai penerima anugerah tahun ini turut menyaksikan penambahan tiga lagi anugerah iaitu Jurulatih Pilihan, Blog Sukan Pilihan dan Perlawanan Pilihan.

Blog Sukan Pilihan memilih Suarasukan1mas yang banyak membincangkan dan memaparkan topik sukan tempatan terutama sukan bola sepak negara oleh pemiliknya Muhd Aiman Aminul Abdullah yang meraih undian 58 peratus.

Sementara atlet lompat tinggi kebangasaan Lee Hup Wei merangkul Anugerah Kebangkitan Pilihan dengan undian sebanyak 51 peratus.

Senarai pemenang Anugerah Astro Arena 2012

Atlet Lelaki Berpasukan - Khairul Fahmi Che Mat (76 %)
Atlet Wanita Berpasukan - Nur Fatehah Mustapha (39 %)
Atlet Muda Pilihan - Mohd Nazmi Faiz Mansor (60%)
Kebangkitan Pilihan - Lee Hup Wei (51%)
Jurulatih Pilihan - Ong Kim Swee (65%)
Blog Sukan Pilihan - Suarasukan1mas (Muhd Aiman Aminul Abdullah) (58%)
Perlawanan Pilihan - (Final Bola Sepak Sukan Sea 2011) - Malaysia mln Indonesia (62%)
Meja Sukan Pilihan - Harian Metro (35%)
-sinarharian