Semua motosikal dibawa ke Balai Polis Kulim.
HI-TECH - Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim, diketuai Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berjaya menahan dua remaja lelaki yang juga suspek curi motosikal berusia 20-an di dua lokasi berasingan kira-kira jam empat dan sembilan pagi, kelmarin.

Difahamkan polis membuat penyamaran sebagai pembeli sudah berurusan dengan dua suspek berasal dari Baling itu sejak tiga hari lalu dan menetapkan kawasan tempat letak kereta Hospital Kulim sebagai tempat dimana mereka akan berjumpa.

Polis berjaya mengaburi pandangan suspek dengan hanya menggunakan keratan surat khabar sebagai duit.

Kira-kira jam tiga pagi, suspek pertama masuk ke perkarangan hospital dan menuju ke tempat dijanjikan dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Suspek kemudian memaklumkan polis, harga motosikal jenis Yamaha 125Z dipesan terpaksa dinaikkan dari RM500 kepada RM1,100 kerana ia motosikal baru.

Polis bersetuju dengan harga ditawarkan, tetapi mendesak suspek menunjukkan motosikal dimaksudkan terlebih dahulu berikutan suspek sebelum itu enggan berbuat demikian.

Hampir dua jam berbincang akhirnya suspek bersetuju menunjukkan motosikal Yamaha 125Z yang dilaporkan hilang dua hari lalu.

Setelah bersetuju, polis kemudian menunjukkan ‘wang’ yang ada dan meminta suspek menunjukkan motosikal Yamaha LC 135 itu.

Namun disebabkan curiga dengan perlakuan di sekeliling tempat perbincangan diadakan, suspek pertama bersama dua lagi rakannya masing-masing membawa motosikal curi cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan.

Suspek menunggang motosikal Yamaha 125Z dan Yamaha LC 135 memecut melarikan diri dari kawasan hospital, tetapi dipintas polis sebelum salah seorang daripadanya merempuh pembahagi jalan di hadapan hentian bas, manakala seorang lagi terbabas.

Mereka kemudian melarikan diri ke semak berhampiran, sementara suspek yang berjaya ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim.

Pemeriksaan mendapati suspek ditahan mempunyai rekod lampau mencuri motosikal, sementara usaha menjejaki dua lagi suspek terus dijalankan dengan bantuan Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim.

Kira-kira jam sembilan pagi semalam, ketika unit MPV polis dari Balai Polis Hi-Tech sedang membuat rondaan, mereka menemui seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berjalan berseorangan di kawasan taman perumahan.

Apabila MPV mendekati suspek, dia bertindak melarikan diri sebelum ditahan dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut serta mengaku pernah mencuri motosikal di Sungai Petani dan Kulim.

Ibu suspek turut di balai polis kelihatan menangis sebaik suspek dibawa keluar dalam keadaan bergari sebelum pindahkan ke Balai Polis Kulim.

Dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal berlaku di sekitar Kulim dan Hi-Tech.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengucapkan tahniah kejayaan anggotanya sehingga tertangkapnya suspek.

Menurutnya kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Kita akan membanteras dan menahan semua penjenayah terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar Kulim hingga ke akar umbi. Kejayaan ini tidak dapat diperoleh tanpa bantuan orang ramai.

“Saya berterima kasih terhadap kerjasama diberikan dan berharap agar hubungan baik antara orang awam dan polis terus terjalin,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini polis telah mengenal pasti beberapa lokasi dipercayai tempat menyimpan motosikal curi dan tempat tinggal suspek terlibat.
-sinarharian