KOTA BHARU – Hasrat seorang peniaga sayur untuk pergi ke pejabat peguam bagi menguruskan tuntutan insurans kemalangan melibatkan anaknya terbantut apabila dia kerugian RM20,000 selepas diragut tiga lelaki di hadapan sebuah klinik berhampiran Balai Islam, Lundang, dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika Rahana Majid, 44, yang menunggang motosikal bersama anaknya, Siti Nazirah Fauzi, 16, berhenti untuk menghubungi peguam berkenaan bagi mengetahui lokasi tepat pejabatnya.
Mengimbau semula kejadian itu, Rahana memberitahu, semasa membuat panggilan, dia meletakkan beg yang mengandungi wang kutipan kutu RM9,700; wang miliknya, RM5,000 dan seutas rantai bernilai RM4,700 yang baru dibeli Sabtu lalu di dalam raga motosikal.
Katanya, tidak lama kemudian, tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berhenti berhampirannya sebelum salah seorang keluar dan terus melarikan begnya.
“Lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam kereta dan terus melarikan diri.
“Saya tidak berani melawan kerana bimbang mengenai keselamatan diri dan takut-takut kalau penjenayah tersebut memiliki senjata tajam,” ceritanya lagi.
-kosmo
No comments:
Post a Comment