TERLANTAR ...Afiq Hamizan ketika diberikan rawatan di hospital.
AFIQ HAMIZAN...ajal
Difahamkan, mangsa Afiq Hamizan Abdul Hamid berusia 15 tahun itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 2.45 petang kelmarin selepas menjalani pembedahan di kepalanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa mewakili pasukan sekolahnya dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat (MSSDHL) yang diadakan di sebuah sekolah menengah agama.
Menurutnya, mangsa yang bermain sebagai penjaga gol mewakili sekolahnya itu cedera di kepala selepas terkena sepakan pemain pasukan lawan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih jam 4 petang untuk rawatan oleh pihak sekolah.
“Bagaimanapun, keadaannya menjadi parah sebelum dihantar ke Hospital Kajang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, selepas doktor mengesahkan mangsa perlu menjalani pembedahan kepala berikutan darah beku selain keadaannya yang sudah kritikal, dia dibawa ke HKL pula namun gagal diselamatkan.
Katanya, mangsa meninggal dunia jam 2.24 petang kelmarin di HKL namun tiada unsur jenayah dipercayai menjadi punca kematian mangsa.
Sementara itu, ayah mangsa, seorang pengawal keselamatan, Abdul Hamid Saad, 50-an, berkata, arwah anak ketiga daripada enam beradik, aktif dalam sukan bola sepak.
Menurutnya, arwah cukup sihat dan aktif ketika pergi ke sekolah pada pagi kejadian dan tidak menyangka akan berjumpa anaknya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya jam 4 petang pada hari sama.
“Ketika tiba di Hospital Kajang, anak saya sudah lemah dan hanya memaklumkan kejadian itu berpunca daripada kecederaan ketika perlawanan namun saya terkilan dengan pihak sekolah yang tidak memberi rawatan awal sebaik terkena sepakan itu.
“Pakar neurologi yang merawat anak saya turut memaklumkan kemungkinan anaknya dapat diselamatkan sekiranya rawatan diberikan lebih awal,” katanya.
Menurutnya, kesal dengan kecuaian dan kelewatan pihak sekolah mengambil tindakan, dia membuat laporan di pondok polis HKL selepas anaknya disahkan meninggal dunia.
-hmetro
No comments:
Post a Comment