Mangsa, Lai Chee Meng, 62, berkata, dia terkejut apabila menerima notis supaya menjelaskan jumlah bil elektrik tersebut pada 5 April tahun lalu.
Menurutnya, dalam notis tersebut dinyatakan bahawa meter elektrik rumahnya telah disentuh dan terdapat kekurangan caj penggunaan elektrik yang sebenar dan dia perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari.
“Saya tidak berpuas hati dengan perkara ini kerana saya tidak pernah menyentuh meter elektrik seperti yang dituduh sebelum meter lama ditukar kepada meter yang baru oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Apabila saya merujuk kepada TNB di Jalan Klang Lama, mereka tidak menyatakan sebarang bukti terhadap pertuduhan tersebut dan mengarahkan saya untuk menjelaskan bil.
“Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan pada pertemuan kali kedua bersama pihak berkenaan, mereka meminta saya menjelaskan RM1,500 seterusnya menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan Awam Dewan Undangan Negeri (Dun) Teratai, Ben Liew di Pejabat Penyelaras Gerakan Dun Teratai.
Hadir sama Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Selangor, Phua Hean Sim.
Mee Cheng berkata, walaupun jumlah bayaran telah dikurangkan, namun dia masih tidak berpuas hati kerana dia tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa TNB.
Sementara itu Ben Liew berkata, tindakan yang dikenakan terhadap Mee Cheng amat tidak wajar kerana pihak TNB tidak menyatakan sebarang bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan pengadu.
“Sebelum mendakwa seseorang, TNB haruslah memberikan bukti yang kukuh selain memaklumkan apakah prosedur digunakan, bagaimana caj bil boleh terkurang dan apakah alat yang boleh membuktikan dakwaan bahawa pelanggan melakukan kesalahan,” katanya.
Menurutnya, Gerakan Teratai berharap TNB mengkaji polisi yang digariskan dan menyiasat semula masalah ini agar tiada rakyat atau pengguna yang tertindas.
Katanya, sekiranya benar meter tersebut telah diusik, mungkin caj ganti rugi yang boleh dikenakan haruslah dengan bayaran minimum.
Hean Sim berkata, pihak bertanggungjawab perlu menjawab dua perkara sebelum mendakwa mangsa dalam perkara ini iaitu apakah bukti beliau mengusik meter dan apakah asasnya mangsa perlu membayar caj sebanyak RM1,500.
“Adalah tidak wajar kepada mangsa yang tidak melakukan kesalahan ini untuk menanggung kerugian orang lain,” katanya.
Dalam satu kenyataan oleh TNB Jalan Klang Lama kepada Sinar harian semalam, jurucakapnya berkata, pengadu masih boleh merayu dalam kes ini dan sebarang perbincangan masih terbuka.
“TNB pernah menjemput pengadu untuk hadir dalam sesi perbincangan bersama dengan jawatankuasa rundingan TNB bagi membentangkan bukti dan masalah berbangkit pada 16 Mac 2012 tetapi pengadu tidak hadir pada tarikh tersebut.
“Bagaimanapun, pengadu kini dalam senarai nama untuk diambil tindakan undang-undang namun beliau masih boleh hadir ke TNB untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik,” katanya.
-sinarharian
p/s sepatutnya pendakwalah yang perlu kemukakan dakwaannya bukan yang kena dakwa..?
No comments:
Post a Comment