Bapa diserang penyakit misteri
CHENOR - Seorang pengamal perubatan Islam mendakwa diserang penyakit misteri apabila gatal di seluruh badan selepas cuba ‘menjejaki’ kehilangan sebuah komputer riba milik anaknya, Jumaat lalu.

Anak mangsa, Mu­hammad Fakaruddin Hanafi, 21, berkata, pada malam Khamis lalu, dia yang belajar di Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah, hilang komputer riba tersebut di Surau Shahab Perdana Alor Setar, dipercayai dicuri ketika menunaikan solat Maghrib.

Menurutnya, komputer riba yang diletakkan dalam sebuah beg berwarna hijau itu diletakkan di rak bersama barangan jemaah lain.

“Saya tunaikan solat Maghrib sebelum menaiki bas pulang ke Temerloh pada jam 10.15 malam.
“Saya cukup terkilan kerana bahan pembentangan dan kertas tugasan pelajaran disimpan di dalam komputer riba itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Fakaruddin berkata, perkara itu dimaklumkan kepada bapanya sebaik sampai di rumahnya di Kampung Bukit Bota, dekat sini.

Menurutnya, usaha ‘menjejaki’ kehilangan komputer riba itu gagal malah bapanya diserang gatal di seluruh badan.
“Saya percaya orang yang mengambil komputer saya mengamalkan ilmu tertentu.
“Alhamdulillah, bapa saya beransur pulih selepas diubati datuk,” katanya.

Muhammad Fakaruddin sengaja mahu berkongsi kisah kehilangan komputer ribanya sebagai teladan kepada mahasiswa lain supaya lebih berhati-hati.
-sinarharian